Hari ini kita sebagai ummat Islam bersama-sama dengan saudara-saudara kita yang sedang menunaikan ibadah haji menyambut Hari Raya Korban, dengan menunaikan syiarnya seperti bertakbir, bersembahyang dan menyembelih korban sebagai bukti melahirkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t, di samping memperingati sunah nabi Ibrahim Khalilul Allah dan keluarganya.
Pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s.
Hari Raya Aidil Adha ini tidak dapat dipisahkan daripada ibadah korban. Ibadah korban ini adalah kemuncak takwa kepada Allah Taala. Hari ini yang sebenarnya kita merayakan ulang tahun pelancaran gerakan tahunan korban. Gerakan ini telah dimulakan sejak ribuan tahun dahulu dan dimulakan oleh Nabi Allah Ibrahim a.s. Khalilul Allah.
Ia bermula dengan pergorbanan Nabi Allah Ibrahim a.s. ketika Baginda hendak menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. Inilah pengorbanan teragung dalam sejarah manusia. Telah diketahui bahawa Nabi Ismail adalah anak kesayangan nabi Ibrahim dan Baginda mendapat anaknya ini dalam usia yang telah lanjut. Tetapi bila diperintahkan oleh Allah s.w.t. supaya mengorbankan anaknya ini, Nabi Ibrahim telah bersedia melaksanakan tugas ini dan Nabi Ismail pula penuh kerelaan dan sabar menurut perintah Allah s.w.t.
Peristiwa kepatuhan Nabi Ibrahim a.s. untuk menyembelih putera Baginda dan kepatuhan Nabi Ismail a.s. terhadap perintah Allah tersebut memaparkan kekuatan iman dan keteguhan mental yang perlu kita contohi. Peliharalah iman di dalam dada kita dengan sebaiknya. Sesungguhnya iman adalah dasar penting yang menjadi paksi kehidupan manusia. ia merupakan asas pemerimaan sesuatu amalan dari Allah s.w.t. hanya amalan yang dilakukan kerana Allah sahaja yang akan mendapat penilaian di sisinya.
Firman Allah s.w.t dalam surah As-Shaffat (102-107):
"Makaketika itu sampai (keperingkat umur) yang membolehkan dia berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata : "Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, InsyaAllah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang bersabar.
Setelah kedua-duanya berserah diri (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim membaringkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (kami sifatkan Ibrahim dengan sesungguhnya azamnya itu telah menjalankan perintah kami), serta kami menyerunya : "Wahai Ibrahim, engkau telah membenarkan mimpi yang engkau lihat itu."
Demikianlah sebenarnya kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar."
Darjat Aidil Adha Lebih Tinggi Dari Aidil Fitri
Aidil Adha ini sebenarnya lebih besar ertinya dan lebih tinggi nilai darjatnya berbanding dengan Aidil Fitri. Sejajar dengan kedudukan itu masa bertakbir dipanjangkan bermula dari malam hari raya hinggalah ke hari yang keempat raya, iaitu hari ketiga belas Zulhijjah yang dinamakan hari-hari tasyrik. Di samping bertakbir ummat Islam melakukan ibadah korban pada hari-hari tersebut.
Demikian pula bagi ummat Islam yang berada di tanah suci menunaikan ibadah haji pada tiga hari tasyrik itu, ialah hari bagi mereka melontar jumrah di Mina. Mereka meneruskan kerja-kerja ibadah haji dengan iringan talbiah :
"Labbaikallahumma labbaik. Labbaikala syarika laka labbaik. Innalhamda wanni'mata laka walmulk. La syarikalak.
"Wahai Tuhan kami, kami datang semata-mata dengan ikrar setia dan taat kepada pemerintah mu, Wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagimu, kami sahut seruan-mu, sesungguhnya segala puji nikmat dan kekuasaan kesemuanya adalah bagimu, wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagimu."
Waallahualam..
"Syukran Ya ALLAH"
No comments:
Post a Comment